Penerbit Aset Penerbit Aset

«Kembali

Dua Padi Baru Diperkenal


KAMPUNG GAJAH: Kerajaan semalam melancarkan dua varieti padi baru, MR220CL1 dan MR220CL2 yang mampu menangani masalah serangan padi angin yang menjejaskan pesawah di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata varieti terbabit juga mempunyai ketahanan tinggi terhadap racun rumpai.

Katanya, kementerian mahu varieti padi berkenaan segera sampai kepada pesawah bagi mengatasi kerugian yang mereka alami sejak beberapa tahun lalu akibat serangan padi angin.
Perangkaan kementerian menunjukkan kerajaan mengalami kerugian sehingga RM80 juta semusim pada 2004 akibat serangan padi angin dan angka itu berkemungkinan mencecah RM100 juta sekarang, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengisytiharan varieti padi baru MR220CL1 dan MR220CL2 di Pusat Estet Benih Padi FELCRA Berhad, Changkat Lada, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Hashim Abdullah dan Pengerusi FELCRA Bhd, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Noh berkata, benih asal kedua-dua varieti padi baru itu berasal dari Amerika Syarikat dan dibawa masuk ke negara ini pada 2003 untuk dibuat kajian secara terperinci.
Katanya, MARDI dengan kerjasama Syarikat BASF (M) Sdn Bhd mengambil masa tujuh tahun membuat kajian secara sainstifik dan akhirnya berjaya menghasilkan benih padi baru dikenali MR220CL1 dan MR220CL2.

Kedua-dua varieti baru itu terbukti mempunyai ketahanan tinggi kerana mempunyai ciri khusus, iaitu tahan kepada racun rumpai dan sekali gus mengurangkan rumput dalam sawah.

Varieti itu juga mampu mengatasi masalah padi angin yang selama ini menjejaskan teruk petani, katanya sambil menambah sifat padi angin adalah biji padi ringan kerana di dalamnya tiada isi dan mudah relai sendiri, terutama apabila ditiup angin.