Penerbit Aset Penerbit Aset

«Kembali

KADA Agih 3,500 Anak Pokok Nangka Madu Kepada Petani di Jajahan Pasir Mas

Pasir Mas (1 Nov) - Walaupun peranan utama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) adalah untuk memajukan sektor tanaman padi selaras dengan kedudukannya sebagai kawasan jelapang padi kedua terbesar negara, namun KADA turut memberikan perhatian kepada sektor lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang dikenalpasti berpotensi untuk dimajukan bagi meningkatkan pengeluaran makanan dan pendapatan petani.

Terbaru, KADA mengambil langkah memajukan sektor tanaman buah-buahan dengan menjadikan kawasan KADA Jajahan Pasir Mas sebagai zon tanaman nangka madu.

Bagi tujuan itu, KADA mengagihkan 3,500 anak pokok nangka madu kepada petani dalam kawasan KADA Jajahan Pasir Mas untuk ditanam samada sebagai tanaman sekeliling rumah ataupun dijadikan kebun nangka berdasarkan keluasan tanah dan kemampuan petani.

Projek tersebut merupakan antara program mempelbagaikan pengeluaran pertanian yang bermatlamat untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dan meningkatkan pendapatan petani dalam kawasan KADA.

Projek itu yang dikendalikan oleh Bahagian Industri Bukan Padi KADA dengan kerjasama Pusat Kemajuan Peladang KADA Pasir Mas melibatkan pemberian bantuan anak pokok dan khidmat nasihat dan pemantauan mengenai kaedah penanaman yang betul bagi memastikan ianya mendatangkan kejayaan sebagaimana diharapkan.

Majlis penyampaian bantuan anak pokok itu berlangsung Ahad lalu bertempat di Kampong Jias, Pasir Mas yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat.

Turut hadir, Ketua Cawangan Industri Bukan Padi KADA, Mohd Naji majid dan Ketua Pegawai Pusat Kemajuan Peladang Pasir Mas, Wan Rosdi Wan Yusoff.

Datuk Hanapi Mamat dalam ucapannya menyeru petani agar menyambut baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada setiap perancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh KADA dan lain-lain agensi pembangunan pertanian. Ini bagi memastikan ianya mendatangkan kejayaan kerana hasil kejayaan itu akan dapat dinikmati oleh petani sepenuhnya dari segi peningkatan pendapatan dan peningkatan pengeluaran hasil-hasil pertanian.

Beliau juga menyambut baik usaha KADA bagi menjadikan KADA Jajahan Pasir Mas sebagai zon tanaman nangka madu. Ini kerana ia akan mendatangkan manfaat besar kepada petani dan akan membolehkan Pasir Mas dikenali sebagai kawasan pengeluaran nangka.

Datuk Hanapi Mamat (tengah) menyampaikan bantuan anak pokok nangka madu kepada petani dalam kawasan KADA Jajahan Pasir Mas.

Datuk Hanapi Mamat (tengah) menyampaikan bantuan anak pokok nangka madu kepada petani dalam kawasan KADA Jajahan Pasir Mas.