BERITA BERITA

«Kembali

KADA Bina 25 Agrobazaar di Kelantan

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan sebanyak 25 Agrobazaar di seluruh negeri ini bagi memasarkan hasil produk pertanian masing-masing terus kepada pengguna.

      Pengerusi KADA, Datuk Sr. Hj. Md Alwi Che Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 10 Agrobazar telah siap dibina dengan manakala baki 15 lagi masih sedang dikenal pasti lokasi.
Kata beliau, proses mewujudkan Agrobazaar berkenaan dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
     "Agrobazaar merupakan premis yang menjalankan perniagaan barangan basah dan kering terus daripada petani. Sehubungan itu, barangan di Agrobazaar ini jauh lebih murah berbanding di tempat lain.
     "Ini adalah sebahagian daripada usaha kita bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam memastikan produk dihasilkan petani tidak dijual melalui orang tengah,"katanya.
     Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Bicara Tokoh Bersama Pemimpin Masyarakat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.
     Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar.
     Terdahulu ketika berucap Md. Alwi berkata, kira-kira 1,300 warga UMK yang memiliki kepakaran dalam pengurusan keusahawanan dialu-alukan turun padang untuk mengubah minda penduduk kampung yang sebahagian besar tidak minat menjadi usahawan.


Sumber : Utusan Malaysia (09/11/2017)
Oleh : Torek Sulong