Perutusan Pengurus Besar KADA

Assalamualaikum w.b.r.t.h. dan Salam Sejahtera
Kita baru sahaja melangkah ke tahun 2012, sekali gus menjadikan kita dan organisasi kita iaitu KADA semakin dewasa dan semakin matang dalam merencana dan mengharungi masa hadapan.
Tahun 2012 kita dimulai dengan langkah kanan berikutan berkuatkuasanya pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang melibatkan penambahbaikan struktur perkhidmatan yang merangkumi skim perkhidmatan, gaji dan lain-lain yang membolehkan semua penjawat awam di Malaysia termasuk warga kerja KADA menikmati perubahan skim gaji serta beberapa kemudahan lain sepertimana yang telah diperjelaskan sebelum ini.
Selaku penjawat awam, kita harus bersyukur dengan pelaksanaan saraan baru ini dan ianya harus dibalas dengan menanam tekad dan keazaman yang lebih tinggi bagi meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan kita kepada rakyat sejajar dengan kenaikan gaji yang diterima.
Pada tahun 2012, KADA akan mulakan pelaksanaan Rolling Plan Ke dua (RP-2) Rancangan Malaysia Ke 10 dengan peruntukan RM 6.8 juta. Projek-projek yang akan dijalankan adalah pembinaan wier merentasi Sungai Kelantan, baikpulih infrastruktur pengairan dan saliran, pembuangan mendapan lumpur di stesyen-stesyen pam dan taliair utama, pengukuhan hasil mini estet padi dan pembangunan kawasan Ladang Merdeka.
Pelaksanaan projek-projek tersebut menuntut komitmen yang lebih besar dikalangan seluruh warga kerja KADA semua bukan setakat bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan jaya menepati jadual dan spesifikasi yang telah ditetapkan tetapi yang lebih penting adalah tindakan susulan bagi mempastikan ianya mendatangkan impak yang besar kepada petani dan negara serta.
Apabila bekalan air telah disempurnakan, galakan berterusan harus diberikan kepada petani untuk terus mengusahakan tanaman padi berlandaskan teknologi semasa dan meningkatkan produktiviti dengan mempergiatkan lagi program kursus dan latihan hands-on bagi meningkatkan lagi penguasaan ilmu dan teknologi tanaman padi dikalangan petani dan pegawai untuk dipraktikkan diperingkat sawah.
Penyediaan inftrastruktur yang lengkap dan pemberian pelbagai bantuan dan insentif secara fizikal tidak memadai tetapi harus dilengkapi dengan program pembangunan minda dan modal insan dalam memastikan keberkesanan dan kejayaan projek pembangunan yang dilaksanakan.
Semoga Allah SWT melimpah taufik dan memberkati atas apa yang kita lakukan.
Terima kasih
Hj. Ibrahim bin Mat,
Pengurus Besar KADA.