KERATAN AKHBAR KERATAN AKHBAR

«Kembali

15 Pam Kuasa Tinggi Selesai Masalah Kerosakan Padi

KOTA BHARU : Sebanyak 15 pam mudah alih berkuasa tinggi bernilai RM12 juta akan dibekalkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi membantu petani yang mengalami masalah kerosakan tanaman padi akibat musim kemarau.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, dalam mesyuarat yang diadakan esok bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan segera.

Katanya, pam itu akan dibekalkan termasuk di Kemubu di sini, untuk menyalurkan air kepada pesawah di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok.

“Kesan pam mudah alih ini akan mengambil masa dalam tempoh enam hingga lapan bulan, bukan dengan kadar segera. Namun ini adalah penyelesaian yang paling segera yang mampu kami lakukan.

“Disebabkan musim ini hanya tinggal dua bulan, jadi kaedah ini dapat digunakan pada musim tanaman kedua tahun ini.

Bagi pesawah di Tumpat dan Pasir Mas, mereka dibekalkan air dari pam di Mekasar serta pam Batu Hampat, Tumpat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pembahagian Hasil dan Zakat Ladang Merdeka Mulong Musim 1/2018, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 577 petani menerima zakat termasuk pembahagian hasil padi bagi musim tahun lalu membabitkan pendapatan keseluruhan di Ladang Merdeka Mulong berjumlah RM205,000.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Pembangunan KADA, Nik Roslan Idris dan Timbalan Pengurus Besar Operasi, Mat Naji Abdullah.

Pada perkembangan yang sama, Husam berkata, pembenihan awan yang dijalankan selama lima hari pada minggu lalu tidak menghasilkan kesan yang tinggi berikutan keadaan cuaca yang terlalu kering pada masa ini.

“Namun, pada Khamis dan Jumaat yang lalu terdapat hujan di beberapa tempat termasuk Machang, tetapi ia tidak dapat menyelesaikan keperluan air yang diperlukan pesawah masa ini,” katanya.

Oleh : Mohd Zulkifli Zainuddin

Selasa, 16 April 2019 - 8:09AM



Artikel Penuh: Berita Harian Online