Home PENGENALAN PERTUBUHAN PELADANG KAWASAN (PPK)

PENGENALAN PERTUBUHAN PELADANG KAWASAN (PPK)

PENDAHULUAN

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) adalah institusi yang di miliki oleh peladang-peladang yang ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109). Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan Pendaftar kepada semua Pertubuhan Peladang di Malaysia. Mengikut Syeksyen 7 (3), Akta Pertubuhan Peladang telah mewakilkan sebahagian kuasanya kepada Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sebagai Wakil Pendaftar kepada semua Pertubuhan Peladang di dalam kawasan KADA. Di dalam kawasan KADA terdapat 13 buah PPK . Perjalanan PPK dikawal oleh beberapa perundangan iaitu Akta Pertubuhan Peladang 1973 (AKTA 109), Peraturan Pertubuhan Peladang 1973, Perlembagaan Pertubuhan Peladang dan Arahan-Arahan Pendaftar dari masa ke semasa.

 

OBJEKTIF

Objektif penubuhan PPK ialah untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan dan memperbaiki cara hidup ahli-ahli serta mewujudkan masyarakat peladang yang progresif, berdikari, makmur dan bersatupadu.

 

PERANAN PPK

PPK bukannya satu institusi yang berorientasikan perniagaan semata-mata, malah peranan sebenar PPK ialah untuk memajukan ahli-ahli melalui perkhidmatan dan perniagaan dengan mengamalkan 3 teras prinsip utama iaitu Prinsip Koperasi, Prinsip Perniagaan dan Prinsip Perkhidmatan. Skop perkhidmatan PPK adalah dengan ahli-ahli sahaja sebagaimana mengikut Perkara 8 Perlembagaan Pertubuhan Peladang. Secara umumnya peranan PPK adalah seperti berikut;
  • Meningkatkan daya pengeluaran melalui penyediaan perkhidmatan
  • Meningkatkan pertumbuhan sektor pertanian yang pesat menerusi usaha penyusunan semula pertanian.
  • Meningkatkan bidang perniagaan dan pertumbuhan pelaburan PPK.
  • Meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan kualiti penghidupan peladang.
  • Mengimbangkan pembangunan sektor perladangan dan perinduastrian menerusi pembangunan perusahaan asas tani di kawasan luar bandar.

PENTADBIRAN PPK

Pentadbiran PPK terdiri daripada tujuh (7) orang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang dipilih daripada kalangan ahli-ahli PPK setiap dua (2) tahun sekali yang berperanan sebagai pembuat dasar (policy maker). Pasukan Pengurusan PPK pula berperanan sebagai pelaksana dasar adalah merupakan penjawat KADA yang di tempatkan di PPK yang terdiri daripada Pengurus besar dan beberapa orang lagi kakitangan. Selain dari itu juga PPK membiayai beberapa orang kakitangan sendiri bagi membantu melicinkan lagi pengurusan di PPK.