Home PRODUK UTAMA KADA

PRODUK UTAMA KADA

1. KOMODITI PADI

Tanaman padi adalah komoditi utama dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). KADA mensasarkan pengeluaran padi akan ditingkatkan kepada 320,000 tan dengan kadar pengeluaran 6.0 tan/hektar dan keluasan sehingga 54,000 hektar bagi mencapai tahap sara diri negara sebanyak 70% sehingga 2020. Peningkatan pengeluaran komoditi padi menerusi konsep seperti di bawah :

  • Ladang Merdeka iaitu perladangan padi secara komersial berteraskan teknologi moden di bawah pengurusan berpusat.
  • Estet Padi atau perladangan berkelompok iaitu pemuafakatan petani mengusahakan sawah secara bersepadu di bawah bimbingan KADA.
  • Projek peningkatan hasil padi ke arah 10 tan/hektar iaitu bimbingan insentif kepada sekumpulan petani bagi mencapai pengeluaran 10 tan/hektar unutk dicontohi oleh petani lain.

 

2. KOMODITI INDUSTRI ASAS TANI

Kawasan KADA amat berpotensi untuk menjadi pengeluar utama produk asas tani kerana memiliki bahan mentah dan kepakaran tersendiri pengusahanya. Program pembangunan industri asas tani akan ditingkatkan dengan melahirkan lebih ramai usahawan baru di samping membangunkan lebih banyak produk baru dan menaiktaraf produk sedia ada bagi menjadikan KADA sebagai pengeluar makanan serantau.

Penekanan adalah kepada pengeluaran berskala besar berteraskan teknologi moden untuk pengeluaran produk yang berkualiti selain menumpukan kepada aspek pembungkusan, pelabelan dan memperluaskan program promosi serta pemasaran.

 

3. KOMODITI BUKAN PADI (KOMODITI SAYURAN)

Pengeluaran sayur-sayuran dalam kawasan KADA akan ditingkatkan bagi memenuhi keperluan pasaran. Tumpuan diberikan kepada usaha memajukan jenis sayur-sayuran, tanaman herba dan tanaman industri yang bernilai tinggi dan berpotensi seperti cili, tomato, kobis, peria dan terung,. Untuk itu, penggunaan benih hybrid dan bioteknologi akan dikembangkan bagi meningkatkan produktiviti.

 

4. KOMODITI BUKAN PADI (KOMODITI BUAH-BUAHAN)

Pengeluaran buah-buahan akan ditingkatkan dengan tumpuan untuk mengkomersialkan jenis buah-buahan yang bernilai tinggi dan berpotensi untuk pasaran tempatan dan eksport. Antaranya manggis, betik, nanas, tembikai, melon, mangga, nangka, jambu batu, limau, pisang dan juga komoditi baru seperti pitaya. Lebih banyak kawasan tanaman baru akan dimajukan di samping membaik pulih kawasan sedia ada bagi meningkatkan produktiviti.


5. KOMODITI BUKAN PADI (KOMODITI TERNAKAN)

Pengeluaran produk ternakan seperti daging lembu, kambing, ayam, itik dan puyuh akan ditingkatkan bagi peningkatan pengeluaran hasil pertanian. Sekumpulan penternak dan usahawan serta swasta digalakkan untuk bergiat aktif dalam aktiviti penternakan haiwan berentitikan komersial dan teknologi moden. Lebih banyak kawasan yang sesuai dan strategik akan dimajukan bagi tujuan ini termasuk penternakan secara insentif dan fidlot.


6. KOMODITI BUKAN PADI (KOMODITI TERNAKAN AIR)

Aktiviti penternakan ikan air tawar dalam taliair dan kolam akan digalakkan bagi meningkatkan pengeluaran produk perikanan air tawar dan menambahkan pendapatan.

Tumpuan diberikan kepada beberapa spesis ikan air tawar yang bernilai tinggi. Galakan juga akan diberikan untuk pengeluaran ikan hiasan yang bernilai tinggi seperti ikan mas, koi, discus dan arowana. Keupayaan pengeluaran benih ikan berupa sangkar, benih ikan dan makanan kepada penternak.

 

Kemaskini : 23/01/2020